Sejarah pentadbiran

>> Thursday, August 12, 2010

Daerah Hulu Terengganu merupakan salah satu daripada tujuh daerah Negeri Terengganu Darul Iman.Terletak di Kawasan Pendalaman Negeri Terengganu dan bersempadan dengan 2 negeri iaitu Pahang dan Kelantan dan 5 daerah di Negeri Terengganu iaitu Kuala Terengganu, Setiu, Besut Marang dan Dungun. Daerah ini merupakan daerah yang terbesar di Negeri Terengganu iaitu meliputi kawasan seluas 3,875 km persegi. Pusat Pentadbiran daerah ialah Pekan Kuala Berang yang terletak kira-kira 40 km dari Kuala Terengganu. Ia boleh dihubungi melalui jalanraya daripada Kota Bharu, Kuantan dan Kuala Terengganu.Bancian penduduk mengikut Datas Asas 2002 keluaran UPEN, jumlah penduduk daerah ini adalah seramai 66406 orang dan majoritinya 97.54 % adalah terdiri daripada Kaum Melayu. Kadar kepadatan penduduknya 17 orang / km persegi. Bilangan mukim sebanyak 9 mukim yang mengandungi 95 buah kampung tradisional dan sebuah perkampungan orang asli.

Kompleks Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu terletak di Pekan Kuala Berang. Bangunan ini dibina di atas tanah seluas 19,927 meter persegi ( 1,9927 hektar ) dan telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al - Muktafi Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 14 Oktober 1997 bersamaan 12 Jamadil-Akhir 1418. Bangunan ini mula dibina pada 15 Oktober 1994 dan siap pada awal tahun 1997 dengan kos sebanyak RM 5.23 juta. Bangunan 4 tingkat ini mula diduduki pada 5 Jun 1997. Sebelum ini Pejabat Daerah dan Tanah beroperasi di bangunan lama berhampiran dengan Jambatan Sultan Mahmud Kuala Berang yang mana bangunan ini sekarang diduduki oleh Majlis Daerah Hulu Terengganu.

Perlantikan penasihat British telah membawa kepada penyusunan pentadbiran dan pengenalan serta penguatkuasaan peraturan baru. Terengganu telah dibahagikan kepada tiga jajahan iaitu Jajahan Timur, Jajahan Tengah dan Jajahan Barat Jajahan Tengah terdiri daripada Kuala Terengganu, Kuala Berang dan Marang. Pusat pentadbirannya ialah Kuala Terengganu.
Pada tahun 1922 telahpun wujud Pejabat Daerah di Kuala Terengganu, pentadbirannya merangkumi kawasan Kuala Ibai, pedalaman Terengganu seperti Kuala Telemung dan Hulu Telemung serta Kuala Berang. Apabila Pejabat Daerah Kuala Berang ditubuhkan pada 24 Ogos 1922 melalui pemberitahuan kerajaan Terengganu bil.5/1361 Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu pada 4 Rabiul Akhir 1361 kawasan pedalaman yang sebelum ini terletak dibawah bidang kuasa Pejabat Daerah Kuala Terengganu telah dipisahkan dan daerah ini dipanggil Kuala Berang. Kawasan pentadbirannya adalah meliputi Kuala Telemung, Tersat, Tanggul, Jenagor, Hulu Berang, Hulu Telemung dan Kuala Berang. Pentadbiran daerah dimasa itu diketuai oleh seorang Pesuruhjaya Kuala Berang dan beliau juga bertugas sebagai hakim di Mahkamah Kuala Berang.

0 comments:

http://urang-ulu.blogspot.com/

2010 - 2012 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda dibenarkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam blog ini untuk tujuan penyebaran dan perkongsian maklumat, tanpa perlu memberitahu kepada pihak urang-ulu.blogspot.com
contact me : Urang Ulu

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP