Sejarah Kedatangan Islam (Empayar Suci Islam Temir)

>> Thursday, August 12, 2010

Di Asia Tenggara dan Kepulauan Melayu, kita akan temui tokoh-tokoh tasawuf yang memainkan peranan penting di dalam politik dan pentadbiran negara. Pada zaman keagungan empayar Islam Acheh pada abad ke-16 dan 17, kita dapat melihat bagaimana peranan yang dimainkan oleh Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Syeikh Abd Rauf Singkel dan lain-lain lagi.

Sejarah kedatangan Islam di Terengganu, malah di Semenanjung Tanah Melayu juga berkait rapat dengan usaha dakwah golongan Tasawuf. Ia bermula di Kuala Berang yang menjadi pusat tamadun dan kerohanian Islam pertama.



Kira-kira 700 tahun dahulu, penduduk Kuala Berang dipercayai menganut agama Buddha, kemudian Hindu dan akhirnya menerima Islam.

Dakwah Islam ini telah dibawa oleh seorang ulama yang sangat berjasa kepada Nusantara ini bernama Syarif Muhammad al-Baghdadi.

Beliau merupakan keturunan Saidina Hasan daripada sebelah bapanya dan Saidina Husin daripada sebelah ibunya.Dipercayai juga beliau adalah berketurunan dari nasab Rasulullah s.a.w.

Syarif Muhammad dipercayai telah meninggalkan takhtanya dan kerajaan Baghdad untuk beruzlah di Mekah. Selepas Mekah, Syarif Muhammad menuju ke Hadratulmaut di Yaman dan kemudiannya ke Nusantara iaitu di Hulu Terengganu. Beliau berdakwah menyampaikan Islam kepada masyarakat dan berjihad menjatuhkan kerajaan Seri Wijaya Majapahit.

Setelah berjaya menjatuhkan kerajaan Hindu, beliau telah mendirikan sebuah kerajaan Islam dan seterusnya membina sebuah pusat pemerintahan yang dinamakan “Empayar Suci Islam Temir” yang terletak di kawasan seluas 300 ekar.Ramai di kalangan para pembesar dan raja-raja Hindu yang memeluk Islam dan menjadi pengikut yang kuat.Namun tidak ramai orang mengetauhi kewujudan kerajaan ini pada masa sekarang kerajaan sejarah kerajaan ini telah digelapkan oleh pihak penjajah..


Pemerintahan dan perjuangan Baginda Syarif Muhammad diteruskan pula oleh keturunannya yang bernama Syarif Abdul Qahar bin Syarif Muhammad (Tok Paloh), kemudian diamanahkan kepada cucunya Syarif Abdullah bin Syarif Qahar (Tok Pauh) dan seterusnya kepada cicitnya Syarif Abdul Malik yang juga disebut Syeikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis. Kesemuanya adalah wali Allah dan dimuliakan Allah dengan diberikan pelbagai karamah.

Tok Pulau Manis kemudiannya menubuhkan pula ‘Kota Pulau Manis’ dan mendirikan institusi pendidikan agama yang tertua dan terbesar di Tanah Melayu ketika itu. Beliau telah mengambil jalan wara’ dengan menyerahkan pemerintahan kerajaannya kepada menantunya iaitu Tun Jenal yang berkahwin dengan anaknya Siti Zubaidah. Tun Jenal ditabalkan sebagai raja di Tanjung Baru, Hulu Terengganu dan bergelar Sultan Zainal Abidin 1.

Seorang lagi ulama tasawuf Terengganu ialah Tokku Paloh, seorang guru mursyid Tariqat Naqsyabandiah yang banyak berjasa terhadap kerajaan Terengganu dan rakyat jelata di dalam usaha menentang kerajaan British.

Salah satu peristiwa yang masyhur ialah ketika pihak Inggeris mahu berunding dengan Raja Melayu mengenai satu tempat bernama Bukit Besar yang ingin mereka miliki. Raja atau Sultan Terengganu pada ketika itu ialah Sultan Zainal Abidin III dan regu baginda ialah Tokku Paloh. Bila Inggeris bertemu baginda dan menyatakan hasrat mereka, lantas Sultan bertitah, “Negeri ini ada tuannya, hendaklah berunding dengannya terlebih dahulu.” Maksud baginda ialah Tokku Paloh.

Pihak Inggeris pun bertemu dengan Tokku Paloh dan berunding mengenai hal itu. Tokku Paloh mengatakan bahawa mereka boleh ‘mengambil’ Bukit Besar dengan syarat bukit itu dibawa balik ke negeri mereka, punggahlah tanahnya ke dalam kapal.

Pihak Inggeris amat marah lalu bangun untuk meninggalkan majlis tersebut. Tapi dengan izin Allah dan karamah Tokku Paloh, kerusi yang diduduki pihak Inggeris melekat pada punggung mereka. Lalu Tokku Paloh menyindir, “Bukan Bukit Besar sahaja yang kamu mahu ambil, tapi kerusi kamipun kamu mahu ambil juga”. Pergilah pihak Inggeris dengan penuh rasa malu.

Kemudian, mereka mahu berunding buat kali kedua tapi ia mestilah diadakan di atas kapal mereka yang besar itu. Bila diajukan jemputan kepada Tokku Paloh, beliau mengatakan kapal besar tak mampu bertahan kalau ia naik. Pihak Inggeris ketawa mendengar kata-kata Tokku Paloh itu.

Namun dengan izin Allah dan karamahnya, setiap kali Tokku Paloh menyengetkan serbannya ke kanan atau ke kiri, maka kapal yangbesar itu turut senget mengikut perbuatan Tokku Paloh. Hal itu menimbulkan perasaan cemas di pihak Inggeris sehingga rundingan dibatalkan serta merta.

Begitu juga dengan murid Tokku Paloh, Haji Abd. Rahman Limbong yang telah memainkan peranan penting dalam kebangkitan tahun 1921-1928 Masihi di Terengganu dalam mempertahankan Islam dari anasir penjajahan.

1 comments:

Anonymous August 8, 2022 at 11:10 PM  

Salam tuan...saya berminat dgn info, boleh saya hubungi tuan tak

http://urang-ulu.blogspot.com/

2010 - 2012 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda dibenarkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam blog ini untuk tujuan penyebaran dan perkongsian maklumat, tanpa perlu memberitahu kepada pihak urang-ulu.blogspot.com
contact me : Urang Ulu

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP