Sejarah Hulu Terengganu

>> Sunday, August 8, 2010

Hulu Terengganu dikenali sebagai FO-LO-AN sejak abad ke 12 lagi berdasarkan buku sejarah Cina bernama "Ling Wai-Tai Ta" karangan Cau-Cu-Fei pada tahun 1178. Pada masa itu daerah ini adalah sebagai bandar pelabuhan yang menjadi tumpuan pedagang-pedagang dari segenap pelusuk alam Melayu, Timur Tengah dan China bagi menjalankan kegiatan ekonomi. Ahli-ahli sejarah berpendapat Foloan yang disebut dalam buku tersebut ialah Kuala Berang.

Berdasarkan buku sejarah berkenaan, hal ehwal Foloan di ceritakan seperti berikut:

" Hasil keluaran Negeri itu (Foloan) termasuklah " Su" dan "Can" ( Jenis-jenis kayu Gahru ), kayu Laka, Gading dan lain-lain seumpamanya ; dan hasil-hasil itu diperniaga diperniagakan dengan emas, perak, porselin, besi, bahan-bahan membuat barnis, arak, beras, gula dan gandum. Tiap-tiap tahun Kerajaan Foloan itu menghantar ufti kepada kerajaan "San Fo Cih" (Seri Wijaya).

Negeri itu (Foloan) berjiran dengan "Peng-Heng" (Pahang), Teng-ya-nu" (Terengganu)" dan Ci-lan-tan (Kelantan) dan negeri-negeri itu bersamaan keadaannya."

Berdasarkan keterangan itu ternyatalah Kuala Berang pernah menjadi pusat perniagaan yang utama di Asia Tenggara disamping Seri Wijaya dalam kurun masihi yang ke 12. Selain daripada itu, disinilah juga berlakunya Perlantikan Kesultanan Terengganu Pertama.

Daerah ini juga terbukti merupakan tempat terawal menerima Agama Islam di semenanjung Tanah Melayu berdasarkan catitan pada Batu Bersurat Terengganu bertarikh 1303 M (702 H) yang dijumpai di Kampung Buloh, Hulu Terengganu.

Di samping itu, daerah Hulu Terengganu juga pernah menjadi tempat kunjungan dan tempat bermastautin tokoh-tokoh ulama seperti yang dibuktikan dengan penemuan makam-makam lama seperti Makam Tok Raja Ri di Kampung Kuala Por, Makam Tok Pauh di Kampung Pauh, Makam Tok Gajah di Kampung Pasir Nering, Makam Tok Berlian Mahmud di Kampung Kemat, Makam Tun Indera di Kampung Kuala Por dan Makam Sharif Mohammad al-Baghdadi di Kampung Jenagor.

Hulu Terengganu juga pernah menjadi tumpuan pahlawan-pahlawan Melayu seperti Tok Gajah, Dato` Bahaman, Tok Janggut, Mat Kilau dan lain-lain lagi di awal abad ke 19. Daerah ini dijadikan sebagai kubu dan tempat persembunyian mereka bagi mengatur strategi menentang penjajahan Inggeris pada ketika itu. Antara peristiwa yang masih menjadi ingatan sehingga ke hari ini ialah Peristiwa Padang Kacong di Kuala Telemong.

0 comments:

http://urang-ulu.blogspot.com/

2010 - 2012 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda dibenarkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam blog ini untuk tujuan penyebaran dan perkongsian maklumat, tanpa perlu memberitahu kepada pihak urang-ulu.blogspot.com
contact me : Urang Ulu

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP